Thursday, October 11, 2007

Larian Ekiden Antarabangsa Malaysia 4 Nov


KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Acara maraton berganti-ganti Larian Ekiden Antarabangsa Malaysia ke-2 yang dijadual berlangsung di Putrajaya pada 4 Nov ini bertujuan memupuk hubungan Malaysia dan Jepun, disamping meraikan ulang tahun ke-25 Dasar Pandang ke Timur.


Pengarah Pusat Belia Antarabangsa (IYC) Raja Datuk Ruslan Raja Samah berkata larian itu akan bermula pukul 7.30 pagi di hadapan bangunan Perbadanan Putrajaya dan berakhir di Dataran Palace of Justice dengan disertai kira-kira 250 pasukan membabitkan 1,250 atlet.

"Larian terbuka kepada orang ramai termasuk peserta dari Jepun, khususnya dari Fukuoka dan peserta tempatan," katanya pada sidang akhbar sempena majlis Pra Pelancaran Larian EKIDEN Antarabangsa Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata larian itu melibatkan empat pusat pertukaran dan terbahagi kepada lima kategori iaitu kategori campuran (18 tahun ke atas), lelaki terbuka (18 tahun ke atas), wanita terbuka (18 tahun ke atas), lelaki junior (13 - 17 tahun) dan wanita junior (13 - 17 tahun).

"Jarak larian ialah 15 km dan setiap pelari akan berlari sejauh 3 km. Kelainan yang terdapat dalam larian berganti-ganti ini setiap pelari akan menyerahkan selempang (Tasuki) kepada pelari-pelari berikutnya, tidak menggunakan `baton' seperti kebiasaan," katanya.

Ruslan berkata lima pasukan pertama yang tiba ke garis penamat akan menerima sebuah trofi manakala pasukan pertama hingga ke-10 akan menerima pingat, dan semua pelari yang menamatkan larian akan menerima `Finisher Medal' bersama sijil penyertaan.

Sementara itu Presiden Persatuan Alumni Dasar Pandang ke Timur Za'ba Youn berkata beliau mensasarkan 50 pasukan dari Jepun akan menyertai larian anjuran bersama IYC, Persatuan Alumni Dasar Pandang ke Timur (ALEPS), Konsul Kehormat Malaysia di Fukuoka, Jepun itu, yang mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pelancongan Malaysia dan Persatuan Olahraga Amatur Wilayah Persekutuan (FTAAA).

Borang penyertaan boleh diperolehi di Sekretariat Ekiden, IYC, Jalan Yaacob Latif, Bandar Tun Razak, Cheras dan orang ramai yang berminat menyertai larian itu boleh menelefon 603-91719204, menghantar faks ke 603-91726682 atau kunjungi pejabat FTAAA, Tingkat 2, Wisma OCM, Jalan Hang Jebat.

Tarikh tutup penyertaan ialah pada 29 Okt ini.

-- BERNAMA

No comments: